Saturday, December 2, 2006

Penggunaan Teknologi Instruksional dalam Kurikulum dan Instruksi


ISI PENTING

Perbezaan kurikulum dan instruksi
Domain penggunaan dalam teknologi instruksional
Penggunaan model ASSURE untuk merancang dan menggunakan media dalam P & P

HASIL PEMBELAJARAN

Setelah membaca tajuk ini pelajar dapat:

Menjelaskan perbezaan antara kurikulum dan instruksi
Menjelaskan domain penggunaan dalam teknologi instruksional
Mengaplikasi model ASSURE untuk merancang penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran dengan memberi contoh amalan di sekolah
Menjelaskan pendekatan berfokuskan media sebagai satu pendekatan instruksional menggunakan rajah.


PENGENALAN

Kertas kerja ini akan menjelaskan perbezaan antara kurikulum dan instruksi dan lima domain yang terdapat dalam bidang teknologi instruksional. Perbincangan akan bermula dengan konsep kurikulum dan instruksi dan diikuti dengan domain penggunaan yang akan memberi tumpuan kepada model reka bentuk ASSURE. Model ASSURE akan menerangkan proses merancang dan menggunakan media instruksional dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL DAN PENDIDIKAN

Secara umum bidang pendidikan adalah luas dan mencakupi bidang kurikulum, kaunseling, penilaian, pengurusan, dan instruksi (Beau­champ, 1968). Bidang yang menjadi tumpuan dalam tajuk ini ialah instruksi dan kurikulum. Dalam bidang instruksi terdapat 5 elemen penting yang menjadi teras kepada bidang teknologi instruksional (Rajah 2.1). Di Malaysia unit-unit yang terdapat dalam bidang pendidikan, di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ialah unit-unit Kurikulum, Penilaian, Kerjaya, Dadah, dan Pengurusan. Unit Instruksi tidak termasuk dalam struktur organisasi JPN. Fungsi unit ini dilaksanakan oleh Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) yang memainkan peranan sebagai pusat ikhtisas dan sumber untuk meningkatkan profesionlisme guru menggunakan teknologi instruksional dan dibantu oleh Pusat Kegiatan Guru (PKG) di peringkat Daerah. Manakala Pusat Sumber Sekolah (PSS) sebagai rangkaian sumber terakhir akan melaksanakan instruksi menggunakan kaedah dan media sesuai dalam bilik darjah. Sebelum kita membincangkan peranan domain penggunaan dalam teknologi instruksional, sedikit penjelasan perlu dibuat tentang bidang kurikulum dan instruksi (Rajah 1)

Rajah 1: Komponen Teknologi Instruksional


PERBEZAAN DI ANTARA KURIKULUM DAN INSTRUKSI

Kurikulum memberi tumpuan utama kepada apa yang hendak diajar manakala instruksi memberi tumpuan utama kepada bagaimana (cara) hendak mengajar (Snelbecker,1974). Pembina kurikulum menentukan rasional, struktur, falsafah, kandungan, nilai dan tujuan kurikulum manakala pakar instruksional (Termasuk teknologi) mencari jalan paling baik untuk menyampaikan kandungan kurikulum kepada pelajar. Jalan yang paling baik bermaksud apakah strategi, kaedah dan jenis teknologi yang sesuai untuk memudahkan pelajar menguasai kandungan kurikulum (Yusup, 2000). Dengan lain perkataan pereka kurikulum hanya menentu dan menyatakan kandungan kurikulum manakala pereka instruksional akan menentukan cara atau proses untuk menguasai kandungan kurikulum. Di Malaysia, kurikulum dan instruksi dirancang dan dibina di peringkat Pusat iaitu oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) merancang dan membina kurikulum sekolah rendah dan menengah. Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) pula mereka ben­tuk, membina, melaksana, mengurus dan menilai bahan media instruksional. Cuma kadangkala terdapat pertindihan di antara BTP dan PPK dari segi reka bentuk dan pengembangan atau pembinaan instruksi. Pereka kurikulum dan pereka instruksional kadangkala memainkan peranan yang sama seperti menghasilkan bahan kurikulum dan bahan instruksional. Pertindihan fungsi antara kurikulum dan instruksi dapat dielakkan jika memahami definisi, domain dan proses teknologi instruksional.


LIMA DOMAIN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL

Mengikut Seels dan Richey (1994), teknologi instruksional mencakupi lima domain utama. Lima domain yang dimaksudkan ialah:

Reka bentuk
Pengembangan/Pembinaan
Penggunaan
Pengurusan
Penilaian

Kelima-lima domain ini menjadi asas dan struktur kepada bidang teknologi instruksional (Rajah 2). Mereka definisikan teknologi instruksional sebagai teori dan amalan reka bentuk, pengembangan/pembinaan, penggunaan, pengurusan dan penilaian terhadap proses dan sumber untuk pembelajaran. Teori ini mengandungi idea, konsep, konstruk, prinsip dan saranan yang menyum­bang kepada pembinaan kerangka pengetahuan. Manakala amalan adalah aplikasi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk menyelesaikan masalah instruksional dan pembelajaran. Dalam kertas kerja ini saya akan membincangkan domain penggunaan iaitu salah satu daripada lima domain teknologi instruksional



Teori
dan Amalan
Pengembangan
Penggunaan
Penilaian
Reka bentuk
Pengurusan
















Rajah 2: Domain Penggunaan Dalam Teknologi Instruksional




Domain Penggunaan

Domain penggunaan boleh tafsirkan sebagai tin­dakan menggunakan proses (kaedah dan model RBI), sumber (bahan dan perkakasan media) dan persekitaran untuk memperbaiki atau meningkatkan suasana pembelajaran. Ia melibatkan hubungan antara pelajar dengan bahan pembelajaran dan sistem. Mengikut Seel dan Richey (1994) dalam domain penggunaan terdapat empat kategori:

1. Penggunaan media dan kaedah
2. Penyerapan atau difusi inovasi
3. Pelaksanaan dan
4. Proses pengekalan inovasi atau institutionalisasi.

1. Penggunaan media dan kaedah

Penggunaan media dan kaedah adalah proses menggunakan bahan pengajaran secara sistematik. Di Amerika, usaha menggalakkan penggunaan media berlaku selepas Perang Dunia Kedua melalui Bahagian Alat Pandang Dengar. Dalam Tahun 1946 Edgar Dale telah menerbitkan buku Audiovisual Materials in Teaching yang memberi panduan dan rasional kepada guru memilih dan menggunakan media dalam pengajaran. Kemudian disusul pula oleh penerbitan beberapa buah buku media yang lain seperti Audiovisuals Instruc­tion (Brown, et. al, 1967), Instructional Technology: Its Nature and Use (Wittich dan Schuller, 1979), Planning and Producing Instruc­tional Media (Kemp, 1980) dan Instructional Media and the New Technologies of Instruction (Heinich, Molenda dan Russell, 1982). Buku-buku ini digunakan oleh pelajar pendidikan, guru dan bakal guru dalam kursus-kursus media pendidikan atau teknologi pendidikan di universiti dan kolej. Contohnya, model ASSURE dalam buku Heinich, et al (1982) telah digunakan oleh guru secara meluas untuk merancang penggunaan media instructional secara sistematik. Model ini akan dijelaskan kemudian.

Di Malaysia, seperti di Amerika usaha untuk menggalakkan penggunaan alat bantu mengajar bermula pada akhir tahun 1920an. Dalam tahun 1929, Abdul Aziz Din telah menterjemahkan sebuah buku bertajuk ‘Kitab Pertolongan Ilmu Mengajar’ dan pada tahun 1953, Dussek dan Mohd Hashim Talib telah menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Kitab Pedoman Guru’. Kedua-dua buah buku ini memberi panduan bagi guru pelatih SITC (Sultan Idris Training College) untuk menggunakan kaedah dan alat bantuan mengajar dalam kelas. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, alat pandang dengar mula diperkenalkan. Pada tahun 1967 Pusat Alat Pandang Dengar Kebangsaan (APD) telah ditubuhkan untuk menyelaras penggunaan APD di peringkat negeri dan daerah. Pusat ini telah menerbitkan Buletin APD iaitu sebuah majalah media ulung yang menjadi rujukan utama guru yang menggunakan APD. Pada tahun 1972 siaran TV Pendidikan telah dilancarkan dan serentak dengan peristiwa itu Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan (PSP), Kemen­terian Pendidikan telah ditubuhkan untuk memantapkan dan meluas­kan lagi penggunaan media di sekolah dan maktab perguruan.

Tahun 1980-an menyaksikan perkembangan yang pesat dalam penggunaan teknologi instruksional (Yusup, 1993). Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) telah diperkenalkan. Reformasi kurikulum sekolah rendah dan menengah ini antara lain meng­galakkan guru menggunakan pelbagai media semasa mengajar. Me­reka telah diberi latihan untuk menghasilkan dan menggunakan bahan pengajaran melalui bengkel dan kursus yang dianjurkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dan Pusat Kegiatan Guru (PKG), universiti tempatan dan maktab perguruan. Beberapa buah buku teknologi instruksional telah diterbitkan seperti Teknologi Pengajaran (1984) oleh Sharifah Alwiah Alsagoff, Pameran Visual (1984) dan OHP dalam pengajaran (1984) oleh BTP, Pengurusan Pusat Sumber Sekolah (1987) oleh Bahagian Sekolah, Transparensi dalam sistem pengajaran (1993) oleh Yusup Hashim, dan Buku Prosiding tentang Teknologi Pendidikan oleh Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia. Di samping itu sebanyak 15 buah PSPN dan 375 PKG telah ditubuhkan untuk menyediakan satu rangkaian penggunaan sumber yang efektif dan cekap dari peringkat negeri hingga ke peringkat daerah dan sekolah. Tiap-tiap sekolah mempu­nyai pusat sumber untuk menyediakan dan membekalkan bahan pengajaran untuk kegunaan guru.

Bahagian Teknologi Pendidikan telah ditubuhkan pada tahun 1988 untuk merancang, menggubal dan melaksana teknologi instruksional di peringkat Kementerian. BTP menyelia penggunaan siaran radio pendidikan (Siaran radio onair ini telah diberhentikan di Semenanjung tahun 1997), TV Pendidikan melalui rangkaian ASTRO dan bahan multimedia CDI yang dibekalkan ke sekolah bestari. Beberapa kajian penggunaan bahan pengajaran di se­kolah telah dijalankan oleh BTP, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Nazir Sekolah dan Universiti Tempatan.

2. Difusi inovasi

Penyerapan atau difusi inovasi adalah proses komunikasi yang dirancang secara strategik untuk mendapat pengakuan dan penerimaan terhadap sesuatu per­ubahan. Untuk mendapatkan penerimaan sesuatu inovasi, Rogers (1995) mengemukakan enam fasa: a. Menimbulkan kesedaran, b. Menimbulkan minat, c. Membuat penilaian, d. Melakukan percubaan, d. Menerima inovasi, dan e. Mengintegrasi inovasi.

Sebagai contoh inovasi penggunaan pembelajaran online di institusi pengajian tinggi. Dalam fasa pertama, pehak pentadbir dan pensyarah universiti harus diberi kesedaran tentang kepentingan pembelajaran online dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kesedaran boleh dicetus dengan mengadakan ceramah atau seminar tentang pembelajaran online. Setelah kesedaran terhadap inovasi ini dapat dicetuskan, fasa kedua ialah menimbulkan minat terhadap penggunaan inovasi ini. Minat boleh ditimbulkan dengan menyediakan maklumat, melawat institusi yang menggunakan pembelajaran online atau menjemput pembekal atau pakar pembelajaran online menunjukkan cara sistem pembelajaran online dilaksanakan. Fasa ketiga ialah melakukan penilaian terhadap sistem yang akan diperkenalkan. Beberapa pusat pengajian atau Fakulti disediakan sistem pembelajaran ini dan penilaian dilakukan oleh pensyarah konten dan kaedah untuk mendapatkan kesan sistem ini terhadap pengajaran dan pembelajaran. Soal selidik juga boleh diedarkan kepada pensyarah yang menggunakan sistem ini. Fasa yang ketiga ialah mencuba inovasi ini dengan memasukkan sistem ini dalam perancangan akademik universiti. Soal selidik dan temu bual dilakukan untuk mendapatkan maklum balas dari pensyarah hasil dari kajian percubaan ini. Pada peringkat ini, pihak pengajian tinggi boleh membuat keputusan untuk menerima atau menolak sistem pembelajaran online. Jika diterima, usaha harus dijalankan untuk mengintegrasi sistem pembelajaran online dalam kurikulum dan instruksi di pusat pengajian tinggi .

3. Pelaksanaan

Pelaksanaan adalah proses untuk menggunakan bahan atau strategi instruksional dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setelah inovasi diterima oleh pusat pengajian tinggi maka sistem pembelajaran online ini akan dilaksanakan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk melaksanakan sistem ini, pusat pengajian tinggi harus menyediakan infrastruktur dan peralatan multimedia di bilik kuliah. Latihan harus diberi kepada pensyarah cara menggunakan peralatan multimedia, keadah menggunakan pembelajaran online serta cara membina bahan online. Pelaksanaan pembelajaran online harus dijalankan secara berperingkat mengikut kesediaan, minat dan kebolehan pensyarah. Kajian Mohamed Hisyam (2006) menunjukkan ada lima fasa kontinum interaksi dalam talian yang akan dilalui oleh pensyarah di IPTA.

4. Pengekalan dan Institutionalisasi

Pengekalan adalah proses untuk mengekal penggunaan teknologi instruksional berasaskan peraturan dan polisi yang ditetapkan oleh sesuatu kumpulan masyarakat seperti warga universiti atau masyarakat sekolah. Setelah inovasi ini diterima dan dilaksanakan maka uasaha harus diteruskan untuk mengekalkan atau menginstitutionalisasikan inovasi dengan menyediakan peraturan dan polisi menggunakan sistem pembelajaran berkenaan (Contoh: Penggunaan papan tulis). Penyeliaan dan pemantuan berterusan harus dilakukan supaya sistem pembelajaran pada akhirnya menjadi budaya dan amalan di skolah atau pusat pengajian tinggi.

MODEL RBI ASSURE : MODEL TUMPUAN BILIK DARJAH

Bagi melahirkan suasana pembelajaran yang berkesan, guru digalakkan merancang instruksi secara sistematik supaya teknologi dan media (alat dan bahan bantuan mengajar) yang digunakan benar-benar memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Sistematik bermaksud tiap-tiap langkah dalam model ini akan menerima input daripada langkah-langkah sebelumnya dan akan memberi output pula kepada langkah berikutnya. Model ASSURE bo­leh dijadikan panduan untuk merancang penggunaan media dan teknologi dalam instruksi (Heinich, Molenda, Russell dan Smaldino, 1982, 1996). ASSURE adalah perkataan Inggeris yang direka daripada enam huruf yang membawa maksud sesuatu itu iaitu pembelajaran pasti akan berlaku: Model ini mempunyai enam langkah:
A = Analyse learner (Analisis pelajar).
S = State objectives (Nyatakan objektif).
S = Select, modify or make media (Pilih, baiki atau buat media)
U = Use media (Gunakan media)
R = Require learner response (Perlukan tindak balas pelajar).
E = Evaluate materials (Menilai dan menyemak semula bahan).

1. Analisis pelajar.

Langkah pertama dalam model ini ialah menyesuai atau memadankan kandungan dalam kaedah, media dan bahan yang digunakan dengan ciri-ciri pelajar. Justru guru harus menganalisis pelajaranya iaitu mengenal pasti tiga perkara berikut:

a. Mengenal pasti ciri umum pelajar
b. Mengenal pasti kompetensi peringkat masuk pelajar (Specific entry competencies)
c. Mengenal pasti gaya pembelajaran

Mengenal pasti ciri umum pelajar mencakupi jantina, umur, kelas (tahun/ tingkatan), pekerjaan, budaya atau taraf sosio-ekonomi. Komptensi pelajar merujuk kepada pengetahuan atau kemahiran sedia ada serta sikap pelajar terhadap tajuk dan kandungan pelajaran yang akan dipelajari. Manakala mengenal pasti gaya pembelajaran merujuk kepada ciri psikologi pelajar iaitu cara pelajar mengamati serta bertindak balas terhadap pelbagai rangsangan seperti kebimbangan, aptitud, visual, audio, kinestatik dan motivasi.

Ciri umum pelajar

Menganalisis ciri pelajar boleh membantu guru memilih media, teknologi dan kaedah yang sesuai dengan pelajar. Sebagai contoh, jika pelajar lemah dalam kemahiran membaca, adalah lebih sesuai menggunakan bahan bukan cetak. Begitu juga jika pelajar itu lemah dalam menghafal sifir, kaedah latih tubi menggunakan instruksi berbantu komputer atau CAI boleh membantu pelajar. Guru harus juga memilih media yang sesuai bagi kumpulan pelajar yang berasal dari kumpulan etnik tertentu atau yang mempunyai budaya atau nilai tertentu.
Bagi pelajar yang tidak atau kurang berminat terhadap pelajaran, guru boleh memilih jenis media yang boleh merangsang pembelajaran seperti pita video, kaedah simulasi atau permainan atau aktiviti yang berasaskan teknologi.
Jika guru memperkenalkan sesuatu konsep baru adalah lebih berkesan menggunakan pengalaman enaktif (pengalaman sebenar, simulasi atau lawatan) atau pengalaman ikonik (Video, CD) seperti yang terdapat dalam Kon Pengalaman Pembelajaran Dale.
Bagi kumpulan heterogenus iaitu kumpulan pelajar yang mempunyai tahap kebolehan atau pengalaman yang sangat berbeza, guru boleh memilih bahan pandang dengar atau multimedia seperti persembahan video atau PowerPoint. Media dan teknologi ini dapat memberi asas kepada kumpulan berkenaan untuk memulakan perbincangan kumpulan atau belajar secara individu.
Terdapat juga keadaan di mana guru tidak mempunyai masa untuk menganalisis pelajar kerana pertama kali bertemu dengan pelajar atau kumpulan itu terdiri dari pelbagai kebolehan dan pengalaman. Dalam situasi ini, guru boleh berbincang lebih awal dengan pelajar atau mendapatkan rekod akademik pelajar supaya dapat ditentukan jenis media dan kaedah yang diperlukan. Penceramah biasanya tidak dapat menganalisis penontonnya dan cara yang paling baik ialah datang lebih awal supaya dapat sedikit maklumat tentang pengetahuan, kemahiran, pengalaman, sikap atau minat mereka.

Kompetensi Peringkat masuk

Lazimya apabila guru merancang pelajaran dalam buku Rekod Mengajar guru membuat dua andaian terhadap komptensi pelajar. Andaian pertama, pelajar sudah mempunyai pengetahuan asas. Andaian kedua, pelajar tidak atau kurang mempunyai pengetahuan atau kemahiran terhadap pelajaran yang akan diajar. Justru guru terus memulakan pelajarnnya tanpa menganalisis kompetensi pelajar. Dalam keadaan yang pertama, pengajaran guru akan terjejas terutama bagi pelajar yang lemah atau sederhana. Hal ini biasanya berlaku dalam pelajaran matematik atau sains yang melibatkan pembelajaran konsep, peraturan dan prinsip. Sebagai contoh, pelajar tidak boleh mencari luas rajah empat segi jika tidak dapat menguasai konsep rajah empat segi. Dalam situasi yang kedua, pelajar mungkin mersa bosan atau tidak berminat belajar jik apa yang diajar adalah sesuatu yang sudah dipelajari.
Guru dikehendaki mengenal pasti pengetahuan sedia ada pelajar untuk membantu ia menulis objektif instruksional atau hasil pembelajaran. Komptensi peringkat masuk boleh dikesan melalui praujian, temubual atau perbincangan secara formal atau tidak formal. Praujian, temubual atau perbincangan ini dapat menentukan pra syarat untuk membolehkan pelajar mencapai hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Pra syarat yang telah dikenal pasti harus ditulis dalam bentuk objektif pengajaran.


Nyatakan objektif pembelajaran secara khusus

a. Objektif pembelajaran mungkin diambil dari sukatan pelajaran, panduan kurikulum atau buku teks.
b. Penentuan objektif adalah berdasarkan kepada peringkat prestasi atau hasilan yang ingin dicapai, keadaan dan kriteria atau darjah pencapaian yang dihajati.
Contoh: Diberi satu keratan akhbar yang mengandungi 200 patah perkataan (Keadaan/syarat pembelajaran), boleh membaca keratan akhbar tersebut (Prestasi) dengan lancar dan jelas (Kriteria/darjah pencapaian).
2. Pilih media dan bahan
Bahan media dipilih berdasarkan kepada tingkat kebolehan pelajar dan matlamat atau objektif pembelajaran yang ingin dicapai.
3. Gunakan alat/bahan pengajaran.

a. Sediakan media dan bahan yang akan digunakan dan tentukan masa pembelajaran yang diperlukan. Contoh: Pribiu (Preview) video sebelum mengajar.
b. Sediakan media dan bahan, alat serta kemudahan yang diperlukan.
c. Sediakan tempat belajar seperti kelas, makmal atau pusat sumber dan lain-lain kemudahan dan keperluan untuk belajar.
d. Sediakan pelajar. Contoh, sediakan set induksi atau nyatakan tujuan dan objektif pembelajaran.
e. Sedia pengalaman pembelajaran. Bagaimana anda menyampaikan pelajaran menggunakan media? Sebagai penyampai utama (Tumpuan guru) atau bertindak sebagai pemudah cara atau pengurus pembelajaran yang memberi tumpuan kepada pelajar (Tumpuan pelajar)?
5. Libatkan pelajar
Untuk mempastikan bahawa proses pembelajaran itu berlaku, pelajar perlu dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran seperti membuat latihan, perbincangan, latih tubi, kuiz, projek dan sebagainya. Kegiatan pengukuhan (Reinforcement activities) seperti pengukuhan serta-merta diberi sebaik sahaja pelajar memberi tindak balas yang betul (Skinner, 1954).
6. Nilai dan semak semula bahan.
Setelah selesai pengajaran, lakukan penilaian tentang kekuatan dan keberkesanan alat/bahan media itu secara menyeluruh. Dalam penilaian itu persoalan berikut harus difikirkan:

a. Adakah objektif pembelajaran tercapai?
b. Adakah alat/bahan media yang digunakan membantu proses pengajaran dan pembelajaran?
c. Adakah kesemua pelajar menggunakan alat/bahan media dengan cara yang betul?
d. Adakah suasana pembelajaran selesa?
e. Adakah peluang pemerhatian individu diberi?

IMPAK TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL TERHADAP
KURIKULUM DAN INSTRUKSI

Teknologi instruksional (TI) mempunyai impak yang signifikan terha­dap struktur pendidikan terutama kurikulum dan instruksi. Meng­ikut AECT (1979), impak TI boleh diperhatikan melalui tiga cara:
1. TI mengubah peringkat membuat keputusan.

Bilakah TI mula masuk ke dalam struktur pendidikan? Adakah kepu­tusan menggunakan TI dibuat pada peringkat tertinggi iaitu pada peringkat penentuan kurikulum atau peringkat perancang­an kurikulum? Atau dibuat pada peringkat terendah iaitu semasa pelaksanaan dalam bilik darjah? Rajah 2.3 menunjukkan bahawa TI masuk pada peringkat perlaksanaan kurikulum. Penggunaan alat dan bahan pandang dengar diintegrasikan setelah kurikulum dirancang. Peringkat ini merupakan peringkat tradisional iaitu penggunaan media dirancang semasa kurikulum dilaksanakan bukan pada peringkat penentuan kurikulum atau perancangan kurikulum. Penggubal kurikulum menganggap media tidak pen­ting! Justeru tidak hairanlah terdapat guru menggunakan bahan media mengikut sesuka hati tanpa perancangan yang sis­tematik. Keputusan ini samalah seperti membina sebuah pusat sumber sekolah. Guru media hanya dipanggil berbincang setelah bangunan pusat sumber sudah siap.

Dalam Rajah 2.4, keputusan menerima TI dibuat pada pe­ringkat perancangan kurikulum. Setelah kurikulum ditentukan, perancang kurikulum bekerjasama dengan pereka instruksional berbincang cara merancang penggunaan teknologi instruksional dalam kurikulum sekolah. Keputusan pada peringkat perancang­an kurikulum mengambil kira kepentingan teknologi instruksional. TI dianggap sama pentingnya dengan kurikulum.

2. TI membentuk empat jenis pola instruksional iaitu:

2.1. Guru dengan pelajar

Dalam pola instruksional yang melibatkan guru dengan pela­jar (Rajah 2.5), guru mengawal sepenuhnya proses pengajaran dan pembelajaran. Guru adalah sumber tunggal maklumat dan pengajaran menggunakan kaedah penyam­paian kapur dan tutur. Ini merupakan kaedah tradisional iaitu tiada media digunakan dalam pengajaran kecuali guru dan papan kapur.
Guru bertutur sepanjang masa dalam kelas dengan sedikit atau tiada langsung interaksi antara guru dengan pelajar sama seperti kaedah kuliah atau penyampaian khutbah sembahyang Jumaat. Pendekatan ini juga dikenali sekarang sebagai fokus guru atau pengajaran terarah guru.

2.2. Guru dengan media

Dalam pola yang kedua ini (Rajah 2.6), pendekatan masih terarah guru iaitu, guru berperanan sebagai pemberi utama sumber maklumat dan pengajaran. Perbezaan ialah, ia membuat keputusan sama ada mahu atau tidak mahu menggunakan media. Media diguna­kan mengikut kesesuaian dan biasanya tidak diintegrasikan secara sistematik di dalam kurikulum. Pola ini masih ber­unsurkan tradisional.

Penentuan Kurikulum
Perancangan Kurikulum
Perlaksanaan Kurikulum
Teknologi instruksional

Rajah 2.3: Media dirancang Pada Peringkat Pelaksanaan Kurikulum

Penentuan Kurikulum
Perancangan Kurikulum
Perlaksanaan Kurikulum
Teknologi Instruksional
Rajah 2.4: Media dirancang Pada Peringkat Perancangan Kurikulum

2.3. Guru dengan sistem instruksional dan media

Pola ketiga ini melibatkan guru dengan sistem instruksional dan media (Rajah 2.7). Pendekatan masih terarah guru tetapi keputusan menggunakan media dikongsi bersama oleh guru dan media. Media diinte­grasikan dalam kurikulum dan proses instruksional. Pengguna­an media dirancang secara sistematik. Model ASSURE (Heinich, Molenda dan Russell, 1982) adalah contoh peran­cangan sistematik penggunaan media dalam bilik darjah.

2.4. Media instruksional sahaja (Tiada peranan guru)

Dalam pola keempat ini, media instruksional (Rajah 2.8), mengambil alih peranan guru. Guru tidak memainkan peranan yang aktif dalam pengajaran seperti dalam pola 1 hingga 3. Dia hanya menjadi pemudah cara, pengurus atau penasihat kepada proses instruksional. Pendekatan ini dikenali sebagai fokus pelajar atau berpusat pelajar. Pola ini mirip dengan instruksi yang disam­paikan secara jarak jauh seperti program pendidikan terbuka yang diamalkan oleh Open University United Kingdom atau Universiti Sains Malaysia. Media dibina oleh satu pasukan pembina kursus yang terdiri daripada pakar mata pelajaran, pereka instruksional dan pakar pengeluaran. Media ini boleh digunakan oleh pelajar secara kendiri tanpa bantuan guru. Contoh bahan instruksional kendiri ialah modul cetak, panduan belajar, perisian pengajaran berasaskan kom­puter, dan hipermedia/hiperteks.

3. TI mengubahkan sistem atau pendekatan pendidikan.

TI boleh mempengaruhi sistem atau pendekatan proses peng­ajaran dan pembelajaran. Ia boleh menukar sistem pendidikan konvensional (bersemuka), kepada sistem pembelajaran jarak jauh menggunakan bahan gaya pos dan kelas telesidang; sistem kelas terbuka menggunakan sistem pengajaran individu dan pengajaran peribadi atau sistem sekolah bebas menggunakan sistem belajar sendiri dan pembelajaran bebas menggunakan bahan Internet.
Objektif
Menentukan isi dan kaedah
Guru
Pelajar
Rajah 2.5: Pendekatan Kapur dan Tutur (Fokus Guru)

Objektif
Menentukan isi dan kaedah
Guru
Dan
Media

Pelajar
Rajah 2.6: Guru Guna Media jika Perlu

Objektif
Menentukan isi dan kaedah
Guru
Pelajar
Media
Rajah 2.7: Perancangan Media yang Sistematik
Objektif
Menentukan isi dan kaedah
Media
Pelajar
Rajah 2.8: Media Sahaja (Tanpa Guru, Fokus pelajar)

TI juga boleh mengubah cara pengajaran dirancang dan disusun. Sebagai contoh, kurikulum literasi komputer (Jadual 1.1) mempunyai strategi instruksional yang berlainan dengan strategi instruksional konvensional. Dalam perancangan pengajaran, ia melibatkan penggunaan komputer, masa tambahan untuk berinteraksi dengan komputer, pembinaan pe­ngetahuan, pembelajaran koperatif, penyelesaian masalah dan penggunaan penilaian dan strategi pengajaran pengua­saan (Mastery learning). Dalam kursus literasi komputer, pelajar perlu mengua­sai kemahiran asas sebelum bergerak kepada kemahiran yang berikutnya. Sebagai contoh jika menggunakan Microsoft Word for Windows atau Internet, pelajar harus tahu menggunakan tetikus dan papan kekunci sebelum menggunakan perisian pemprosesan perkataan Word atau Internet Explorer. Selagi pelajar belum menguasai kemahiran asas ini, adalah sukar bagi mereka menggunakan pukal perisian komputer ini.

Jadual 1.1Rancangan Pengajaran Literasi Komputer
(Ubahsuai daripada Abdul Hamid Abdul Rahman, 1995)
Memberi arahan dan memulakan operasi komputer 10 minit
Mengulang kaji dan menyediakan set induksi 20 minit
Menyampaikan Pelajaran: Topik, Kandungan 30 minit
dan Demonstrasi (Tugasan)
Pengalaman `Hands-on' 10 minit
Kurikulum Literasi Komputer
Cadangan Perancangan Strategi Pengajaran Tutorial MengikutJadual Waktu Anjal (120 minit = Tiga Waktu)
Aktiviti Prapengajaran (15 minit)
Persediaan dan memulakan sistem komputer
Mendapatkan perhatian (set induksi)
Mengingat semula pelajaran lepas
Persembahan pelajaran (25 minit)
Menyampaikan objektif/hasil pengajaran
Menyampaikan isi pelajaran
Memberi contoh/ panduan pelajaran
Interaksi pelajar dengan komputer (30 minit) (`Hands-on experience')
Penilaian pembelajaran (20 minutes)
Maklum balas daripada pelajar
Beri ujian /latihan
Aktiviti pengayaan (30 minit) (Pembinaan Pengetahuan)
Catitan: Pelajar perlu buat latihan sendiri di makmal komputer sekurang- kurangnya empat jam dalam seminggu sebagai latihan tambahan kepada jadual waktu formal sekolah

Kemajuan dalam teknologi instruksional memberi kesan terhadap kuri­kulum dan instruksi. Institusi pendidikan perlu distruktur semula untuk menerima dan menyesuaikan dengan pendekatan baru dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran soft technologies dan penggunaan hard technologies seperti yang dinyatakan oleh Reigeluth (1987):
‘As we enter deeper into a highly technological, rapidly changing information-oriented society, the present structure of our education system will become more and more inadequate! With our entire nation still at risk, we are forced to reevaluate and restructure the entire way schools operate, the approaches we use in teaching, and the way students learn’.
Penggunaan TI terutama teknologi komunikasi dan maklumat mungkin mengubah cara jadual waktu dirancang dan dilaksanakan di sekolah, maktab dan di universiti. Proses pengajaran dan pembelajaran adalah berpusat kepada pelajar dan berasaskan pengetahuan dan maklumat. Guru me­ngurus aktiviti pembelajaran dengan menyediakan sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran dan pencarian maklumat menggunakan teknologi baru untuk pembelajaran. Pengenalan kepada jadual waktu anjal oleh Kementerian Pendidikan dalam tahun 1993 memberikan fleksibiliti dalam perancangan kurikulum dan strategi instruksional. Seperti yang disuarakan oleh seorang pengetua sekolah yang meng­amalkan jadual waktu anjal:
‘Jadual waktu anjal membolehkan guru merancang pelajaran dengan lebih berkesan dan memberi lebih masa bagi guru menyemak buku latihan dan menangani masalah pembe­lajaran sedangkan jumlah waktu mengajar adalah sama’.


PENUTUP
Tajuk ini telah membincangkan definisi dan domain teknologi instruksional, perbezaan di antara kurikulum dan instruksi dan impak teknologi instruksional terhadap pendidikan. Lima domain teknologi instruksional seperti reka bentuk, pengembangan, pengurusan, pelaksanaan dan penilaian dapat memberi gambaran tentang fungsi bidang teknologi instruksional khususnya dan bidang instruksi amnya dalam meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Bidang instruksi menjelaskan dan menentukan kaedah yang paling baik untuk mengajar manakala bidang kurikulum memilih dan menentukan kandungan kurikulum paling baik untuk diajar atau disampaikan kepada pelajar supaya dapat membentuk dan melahirkan generasi yang berilmu, bertamadun dan berakhlak mulia.
RUJUKAN

Abd. Aziz Din (1952) Kitab Pertolongan Ilmu Mengajar (Cetakan kedua). Kuala Lumpur: Arts Printing House
Abdul Hamid Abdul Rahman (1995). Perlaksanaan program literasi komputer dan kesannya ke atas kepercayaan menggunakan komputer di kalangan pelajar sekolah menengah, Tesis Sarjana Pendidikan, Universiti Malaya
AECT (1977). The definition of educational technology. Washington DC: AECT
Andrews, D. & Goodson, L. (1980). A comparative analysis of models of instructional design. Journal of Instructional Development 3(4), 2-16
Beau­champ, G. (1968). Curriculum theory (Edisi ke-2) Wilmette IL: Kegg Press.
Brown, J., Lewis, R. & Harcleroad, F. (1967). AV instruction: Materials and methods. (Edisi ke-3). New York: Mc Graw Hill.
Chang Chan Tek (1996). Effectiveness of instructional design model on mastery learning in the teaching of secondary school mathematics. Disertasi Kedoktoran, Universiti Sains Malaysia
Dick,W. & Carey,L. (1999). The systematic design of instruction. (4th ed.) NewYork: Prentice-Hall.
Dussek, O. & Mohd Hashim Zainal (1929). Kitab Pedoman Guru. Singapore: Malaya Publishing House Limited.
Euis Mariani Koswara (2005). Keberkesanan reka bentuk pengajaran bersistem dalam pengajaran dan pembelajaran geografi. Tesis Sarjana Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris
Fleming, M. & Levie, H. (1993). Instructional message design (Edisi ke-2). New Jersey: Educational Technology Publications
Gagne’ R., Briggs, L. & Wager, W. (1992). Principles of instructional design, (5th ed.). New York: Holt, Rinehart and Winston.
Grabowski, B. (1991). Message design: Issues and trends. Dalam G. J. Anglin, (Editor) Instructional technology past and present.(h.222-232). Colorado: Libraries Unlimited
Gustafson, K. & Branch R. (1997). Survey of instructional development models. (3rd ed.) New York: Syracuse University
Gustafson, K. (1991). Survey of instructional development models. (2nd ed.) New York: Syracuse (Terjemahan Yusup Hashim & Razmah Man, Tinjaun model pengembangan instruksi, 1999)
Heinich, R., Molenda, M. & Russell, J. (1982). Instructional media and the new technologies of instruction, New York:Macmillan.
Ismail Md Zain (1994). Keberkesanan reka bentuk pengajaran di kalangan pelajar sekolah menengah. Tesis Kedoktoran, Universiti Sains Malaysia
Jeyanti, V. (1997). Kajian kesan atribut media pendidikan untuk membantu pencapaian objektif pembelajaran. Tesis Sarjana Pendidikan, Universiti Sains Malaysia.
Jonassen, D. (2004). Handbook of research on educational communications and technology. New Jersey: Lawrence Erlbaum.
Kemp, J., Morrison, G. & Ross, S. (1994). Designing effective instruction. New York: Merrill
Leshin, C., Pollock, J., & Reigeluth, C. (1992). Instructional design strategies and tactics fo improving learning and performance. Englewood Cliffs, NJ: Educational Technology Publications.
Martin, B. (1997). Media and IT (Instructional Technology) as part of education (Part 2), Educational Media International, 34(2), 103-106
Mohamed Hisyam bin Mohd Hashim (2006). Interaksi dalam talian menggunakan LMS: Satu kajian kes. Tesis Ph. D, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Projek Inspire (1977), Uinversiti Sains Malaysia
Reigeluth, C.M. (1987). The search for meaningful reform: A third wave educational system, Journal of instructional development,10(4), 5-10
Reigeluth, C. (Editor) (1983). Instructional-design theories and models: An overview of the current status. Hillsdale NJ: Lawrence Erlbaum.
Reigeluth, C. (Editor) (1987). Instructional theories in action: Lesson illustrating selected theories and models. Hillsdale NJ: Lawrence Erlbaum.
Reiser, R. & Dempsey, V. (2002) Trends and issues in instructional design and technology. Columbus, Ohio: Merril and Prentice Hall
Rogers, E. (1995). Diffusion innovations (Edisi ke-3). New York: Free Press
Seels, B. dan Richey, R (1994). Instructional technolog: The definition and domains of the field. Washington DC; AECT
Smaldino, S., Russell, J, Heinich, R. & Molenda, M. (2005). Instructional Technology and media for learning, (8th ed.) New Jersey: Pearson
Snelbecker, G. (1974). Learning theory, instructional theory and psychoeducational design. New York: Mc Graw Hill
Tessmer, M. (1990). Environmental analysis: A neglected stage of instructional design. Educational Technology Research & Development, 38(1,:55-64
Wittich, A. dan Schuller, C. (1979). Instructional technology; Its nature and use. New York: Harper & Row
Yusup Hashim & Razmah Man (1993). Instructional design considerations in developing hypermedia/hypertext in instruction.Journal of hypermedia and multimedia studies, (4(1),18-22
Yusup Hashim (1991). A study on educational media programs in Malaysian Universities and Colleges, Disertasi Kedoktoran, Kansas State University
Yusup Hashim (1998). Teknologi Pengajaran. Shah Alam: Fajar Bakti
Yusup Hashim (2000). Konsep dan perkembangan kurikulum dan instruksi. Kuala Lumpur: Utusan Publication.

4 comments:

mohd yusof said...

Kebelakangan ini sudah banyak jawatan Pereka Bentuk Pengajaran (ID) yang diiklankan oleh sektor pendidikan dan latihan korporat.Pada pendapat Prof,apakah peranan dan tanggungjawab seorang ID?
bagaimana setiap peranan dilaksanakan dalam sebuah projek reka bentuk pengajaran.

Mohd Yusof MK
peminat IT, Kuala Lumpur

这一个我 said...

selamat petang..saya adalah pelajar di ipg_kti..saya hendaklah mencari maklumat instructional planning.apakah insrtuctional planning dan apakah unsur yang ada di dalam?jika tuan mempunyai maklumat tersebut,bolehkah email ke teestar@hotmail.com kepada saya.terima kasih banyak..

这一个我 said...

selamat petang..saya adalah pelajar di ipg_kti..saya hendaklah mencari maklumat instructional planning.apakah insrtuctional planning dan apakah unsur yang ada di dalam?jika tuan mempunyai maklumat tersebut,bolehkah email ke teestar@hotmail.com kepada saya.terima kasih banyak..

Khamaludin Toha said...

bismillaah, mohon izin kopi artikel. udi. terima kasih